Thursday, October 21, 2010

AIR TERJUN JERAM LINANG......



  • Jeram Linang merupakan salah satu kawasan rekreasi hutan lipur dan air terjun yang terkenal di Kelantan. Jeram Lenang terletak di Hutan Simpan Ulu Sat, dalam Jajahan Machang, Kelantan.
  • Mengikut sejarah, Jeram Linang merupakan antara kawasan air terjun yang terawal dibangunkan sebagai kawasan rekreasi orang ramai di Kelantan. Air terjun Jeram Lenang adalah dari jenis air terjun bertingkat setinggi 12 meter dan menjadi tumpuan orang ramai dari kawasan Pasir Puteh, Machang, Kota Bharu dan Jerteh, Terengganu
  • Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Daerah Machang telah membina banyak kemudahan seperti tempat letak kereta, surau, wakaf rehat, tandas awam, restoran dan gerai, chalet dan tapak perkhemahan.
  • Jaringan jalan raya yang baik telah dibina oleh pihak kerajaan bagi memudahkan para pegunjung melawat Jeram Linang. Jeram Linang terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Pasir Puteh (melalui jalan Pasir Puteh - Machang) dan 15 kilometer dari Bandar Machang (melalui jalan Machang - Wakaf Linchong).


ADA APA DISEBALIK LORONG?


lorong tersimpan seribu makna dan rahsia....

Wednesday, October 20, 2010

KITAR SEMULA

  • Kitar Semula bermaksud mengasingkan, mengumpul, memproses dan menggunakan bahan yang telah dipakai dalam kehidupan harian dan diguna atau diproses dengan menghasilkan satu produk baru untuk menghindari pembaziran bahan yang masih boleh diguna, mengurangkan penggunaan bahan mentah, mengurangkan penggunaan tenaga, mengurangkan pencemaran udara (daripada pembakaran) dan air (daripada pemendaman tapak pembuangan sampah) dengan mengurangkan pembuangan bahan lazim dan mengurangkan gas kesan rumah hijau, berbanding dengan proses panghasilan produk menggunakan bahan asas.
  • Kitar Semula adalah satu proses yang melibatkan kesedaran dan dedikasi untuk meningkatkan tempoh hayat dan kegunaan satu barang yang mana sudah tidak berguna setelah kegunaan asal barangan tersebut dipakai.
  • Kitar Semula adalah satu komponen daripada pengurusan bahan buangan moden dan juga elemen ketiga daripada carta buangan 3R; "Reduce, Reuse, Recycle".
  • Bahan yang boleh dikitar semula termasuk pelbagai jenis kaca (botol-botol kaca), kertas (majalah, surat khabar), logam (tin minuman), plastik (botol atau bekas plastik), tekstil dan barangan elektronik.
  • marilah sama-sama kita menyokong kempen kitar semula yang disaran oleh pihak kerajaan bagi membangkitkan rasa cinta dan sayang terhadap alam sekitar.

Sunday, October 17, 2010

SAHABAT......

SAHABAT...setiap orang mempunyai sahabat mahupun kawan masing-masing. Tapi adakah kita tahu erti sebenar seorang sahabat.Sahabat merupakan seorang yang sentiasa berkongsi suka dan duka bersama kita dan sanggup berkorban untuk sahabatnya. Susah senang yang berlaku ditempuhi bersama-sama. Sama-sama ketawa di kala senang dan sama-sama menangis di saat berada dalam kesusahan. Sahabat dalam erti kata yang lain juga merupakan seorang yang dapat membimbing dan memberi nasihat kepada kita dalam menempuh hidup yang penuh pancaroba dan sentiasa membawa kita ke jalan-Nya.
PERKAHWINAN DALAM ISLAM

Perkahwinan dalam islam telah disyariatkan oleh Al-Quran, Sunnah dan Ijma' Ulama'. Firman Allah, 'Dan kahwinilah orang-orang bujang lelaki & perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari kalangan hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan'. (Surah An-Nur : 32)

Dalil pensyariatan dari Sunnah, bersabda Rasulullah, 'Wahai para pemuda, sesiapa di antara kamu yang mampu memikul tanggungjawab perkahwinan, hendaklah dia kahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu menahan pandangan dan memelihara kemaluan (kesucian). Bagi sesiapa yang tidak mampu (berkahwin) maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat menahan nafsunya'. (H.R.Bukhari & Muslim)

Para ulama' telah membuat penentuan hukum dengan berdasarkan kepada kedudukan dan kemampuan seseorang untuk mendirikan rumah tangga. Para ulama' telah membahagikannya kepada 4 jenis hukum iaitu,

FARDHU/WAJIB
Para ulama' menyatakan bahawa sesuatu perkahwinan akan menjadi fardhu bila seseorang individu itu yakin bahawa jika tidak berkahwin dia pasti akan terlibat dalam kancah perzinaan. Bagi sesetengah individu pula sama ada dengan melakukan ibadah puasa atau ibadah-ibadah yang lainnya masih tidak dapat mencegah atau menahan keinginan nafsunya untuk melakukan zina, maka dalam situasi ini hukum melangsungkan perkahwinan menjadi lebih fardhu.

Menjaga kesucian dan maruah diri dari melakukan perbuatan yang ditegah oleh agama adalah menjadi satu kewajipan setiap muslim. Individu yang berhadapan dengan situasi ini diwajibkan berkahwin demi untuk menjaga kehormatan diri dan agama, ini kerana perkahwinan sahajalah yang dapat menghalangnya dari melakukan perbuatan zina. Selain dari itu individu tersebut juga mestilah berkemampuan untuk menyempurnakan mas kahwin, nafkah untuk isteri serta lain-lain tanggungjawab sebagai seorang suami dalam sebuah rumah tangga seperti yang dituntut oleh syara'.


HARAM
Sesuatu perkahwinan itu akan menjadi haram atau berdosa jika dilangsungkan juga apabila individu tersebut berkeyakinan dia pasti akan melakukan kekerasan, kezaliman dan ketidakadilan ke atas isterinya serta mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. 

Maksud pengabaian tanggungjawab di sini adalah seperti tidak dapat menyediakan tempat tinggal yang sempurna, memberi pakaian, makanan, jaminan kesihatan dan keselamatan serta lain-lain keperluan asas yang sepatutnya seperti yang dituntut oleh syara' ke atas setiap suami.

MAKRUH
Sesuatu perkahwinan itu dianggap makruh apabila seseorang itu merasa bimbang bahawa berkemungkinan dia akan melakukan kezaliman atau kekerasan serta tidak dapat menyempurnakan tanggungjawab atau memberikan keadilan ke atas diri isterinya tetapi kebimbangannya itu tidaklah sampai ke tahap pasti atau benar-benar yakin. Kebimbangan kepada sifat buruknya itu hanyalah berdasarkan kepada kemungkinan sahaja di mana ianya mungkin benar berlaku atau mungkin juga tidak akan berlaku.

Bagi pendapat Imam Syafie beliau mengatakan bahawa sesuatu perkahwinan akan menjadi makruh apabila seseorang lelaki yang berkahwin itu berada dalam keadaan uzur yang serius, seperti faktor usia yang terlalu lanjut atau masalah kesihatan seperti mati pucuk ataupun mengidap penyakit yang tidak mungkin sembuh.

SUNAT
Pada pendapat jumhur ulama' kecuali Imam Syafie' mengatakan, perkahwinan dianggap sunat apabila seseorang lelaki itu berada dalam keadaan normal iaitu tiada apa-apa kebimbangan atau kemungkinan pada dirinya untuk melakukan zina sekali pun ia memilih untuk terus membujang dan tidak berkahwin. Di samping itu juga tiada kebimbangan atau kekhuatiran pada dirinya untuk melakukan kezaliman dan kekerasan terhadap isterinya jika dia berkahwin. Keadaa normal adalah situasi di mana kebanyakkan orang melangsungkan perkahwinan mereka.
Pada pendapat Imam Syafie beliau mengatakan, bagi perkahwian seseorang lelaki yang berada dalam keasaan normal hukumnya adalah harus iaitu dia bebas menentukannya sendiri sama ada memilih untuk terus berkahwin atau tidak. Imam Syafie menambah, walau bagaimana pun jika seseorang lelaki itu memilih untuk tidak berkahwin, adalah lebih baik dia menumpukan kepada beribadah ataupun menuntut ilmu.





Saturday, October 16, 2010

Petua Nenek....

Orang Melayu sememangnya kaya dengan petua-petua yang dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.
Berikut merupakan beberapa contoh petua yang dapat dijadikan panduan kepada kita :
Menghindari Penyakit
Makan sedikit garam kemudian minum segelas air suam pada waktu pagi. Selain dapat menghindari penyakit, ia juga dapat membersihkan jantung dan paru-paru.


Demam Panas
Ramas semangkuk asam jawa dengan beberapa kuntum bunga raya. Selawat sebanyak tiga kali kemudian sapukan ke kepala dan seluruh badan. Biarkan seharian.


Bengkak Akibat Terjatuh
Campurkan asam jawa, garam dengan sedikit air. Sapukan ke tempat yang benjol atau bengkak. Dalam masa beberapa minit bengkak akan menjadi susut.


Merawat Hidung Berdarah
Layurkan sehelai daun sirih. Gulungkan menjadi kecil dan sumbatkan pada hidung yang berdarah. Pada waktu yang sama, ambillah ketulan ais lalu dibungkus ke dalam kain atau tuala. Kemudian letakkan di atas dahi.


Resdung
Hiris tiga biji bawang merah. Ambil dua helai daun sirih dan secubit biji sawi. Masukkan ke dalam bekas bersama air mendidih. Kemudian wapkan ke muka anda. Amalkan selalu. 




Sakit Kuning
Hiris nipis-nipis sedikit rebung. Kemudian rebus sehingga mendidih. Amalkan meminum air rebusan tersebut. Ulangi sehingga sembuh.




Menghilangkan Angin
Caranya ialah dengan merebus buah mata kucing bersama halia dan gula melaka (ikut cita rasa anda). Apabila suam, minumlah airnya setiap hari. Lebih elok diminum selepas makan nasi.


Mengurangkan Tekanan
Ubat untuk anda mengurangkan tekanan ialah dengan mengambil air kelapa muda. Campurkan dengan air perahan limau nipis. Minum dengan satu nafas sahaja.



Demi Masa....


Gunakan kesempatan yang masih diberi semoga kita takkan menyesal
Masa usia kita jangan disiakan kerana ia takkan kembali

Ingat 5 sebelum 5 : 
Sihat sebelum sakit
Muda sebelum tua
Kaya sebelum miskin
Lapang sebelum sempit
Hidup sebelum mati

Wednesday, October 13, 2010

Ikan bakar menggamit rasa membuka selera....


Sedapnya ikan bakar....pasti menggamit rasa semua orang. Aromanya yang memikat mampu membuatkan sesiapa sahaja untuk merasai. Ikan bakar ini kalau dicicah dengan air asam memang tidak terkira lazatnya dan pasti membuat kita tidak berganjak untuk menikmatinya. Saya sememangnya begitu meminati ikan bakar yg dicicah dengan air asam ini. Lebih-lebih lagi jika yang masih panas-panas yg baru diangkat dari panggang api. Fuhhh....pasti terangkat!!!!!..enak, sedap dan lazat sahaja ungkapan yang boleh diucap tatkala menikmati hidangan ikan bakar ini. Ikan bakar sememangnya mampu membuka selera orang ramai dan tidak menjemukan walau menikmatinya kerap kali. 

Wednesday, October 6, 2010

Bukan Kerna Nama
Jangan kau pandang bibir yang manis
Kerana dia bisa menghancurkan
Jangan kau pandang wajah yang indah
Kerana dia bisa meracunmu

Dengarlah hai teman
Dengarkan bersama
Aku menulis bukan kerna nama
Kerna sifat kasih
Pada sesama insan
Dan menyatakan kasih sayangmu
Kita sama semuanya sama
Apa yang ada hanyalah kehidupan

Jangan kau dengar puisi dusta
Kerana dia bisa merosakkan jiwamu
Dengarkanlah puisi di pusaka
Yang telah turun temurun hari ini

Jangan kau alas hatimu itu
Dengan secebis warna kehitaman
Dialah seperti anai-anai
Lambat laun hancurlah dirimu


Saya begitu tertarik dengan lirik lagu di atas...kata-katanya begitu puitis dan tersingkap pelbagai makna yang mendalam. Mungkin anda semua pernah mendengar lagu ini. Ya, lagu ini dinyanyikan oleh Ramli Sarip dan A. Romzie pada suatu ketika dulu dan cukup diminati ramai. Lirik lagu ini begitu bermakna sekali bagi saya kerana dapat dijadikan panduan dalam meniti arus kehidupan. Pencipta lirik ini begitu bijak meyampaikan nasihat serta pesanan sebagai renungan dan pedoman kepada masyarakat dalam menjalani kehidupan seharian yang dipenuhi duri ranjau serta onak liku. Kita dinasihat supaya tidak mudah terpedaya dengan kata-kata manis daripada orang sekeliling supaya tidak mudah hancur dan hilang arah dengan bibir manis yang pandai berkata-kata yang mungkin mempunyai maksud tersirat di luar pengetahuan kita. Begitu juga kita diingatkan supaya tidak alpa dengan keindahan dunia yang melekakan yang akan meracun diri kita secara perlahan-lahan. Hayatilah dan fahamilah lirik lagu ini secara mendalam jauh ke dasar hati anda dan renungkanlah kata-kata yang diungkapkan sebagai pedoman dalam menyelusuri arus kehidupan duniawi.
Selamat menghayati.......wassalam.
      

Saturday, September 25, 2010

Kemana sudah kasih sayang....


Assalamualaikum dan salam sejahtera....mungkin anda semua tertanya-tanya mengapa saya meletakkan gambar seekor ibu kucing dengan anaknya di ruangan ini?..Sebenarnya,saya begitu tertarik dengan isu pembuangan bayi yang seakan menjadi senario di kalangan remaja dunia global hari ini. Tindakan remaja ini boleh dibandingkan dengan sikap kucing yang saya akan ceritakan nanti.Sering sahaja kita dengar berita mengenai pembuangan bayi di dada-dada akhbar ataupun media massa yang seakan menjadi trend remaja khususnya remaja perempuan pada masa kini.Bayi-bayi yang tidak berdosa itu dibuang dan dicampak begitu sahaja sebaik dilahirkan tidak ubah seperti sampah oleh mereka yang tidak berhati perut itu.Ada yang diletakkan di dalam tong sampah, tandas, semak dan yang paling menyayat hati ialah diletakkan di tempat pelupusan sampah yang kotor,jijik dan dipenuhi dengan lalat,semut dan sebagainya.Tidakkah ada secebis kasih dalam diri mereka terhadap anak yang dikandung selama 9 bulan 10 hari itu? Tidakkah mereka terfikir perbuatan mereka itu akan menambahkan lagi dosa mereka di sisi Allah? Atau mereka sudah tidak punya hati dan perasaan sehingga sanggup melakukan perkara sedemikian terhadap darah daging mereka? Sedangkan haiwan pun menyayangi anak-anaknya,kenapa manusia tidak begitu? Nah, ini menggambarkan bahawa haiwan lebih mempunyai hati dan perasaan berbanding manusia.Kucing misalnya, seperti yang kita tahu dilabelkan sebagai haiwan yang penyayang, dan saya sendiri pernah melihat situasi di mana seekor ibu kucing cuba melindungi anaknya daripada sekumpulan kanak-kanak yang nakal. Kanak-kanak tersebut telah menganiayai anak kucing itu dengan menyepak dan menerajang semasa ketiadaan ibu kucing tersebut. Sekembalinya ibu kucing ke tempat anaknya itu dan melihat peristiwa itu, ibu kucing tersebut dengan perasaan marahnya terus menggigit kaki salah seorang daripada kanak-kanak tersebut untuk menyelamatkan anaknya daripada terus dianiayai dan disakiti oleh mereka.Situasi ini menunjukkan bahawa seekor kucing begitu menyayangi anaknya dan sebagai ibu wajar baginya melindungi anaknya. Di sini, saya dapat lihat bahawa kucing lebih mempunyai sifat kasih sayang terhadap anaknya berbanding remaja yang senang sekali membuang anak sebegitu sahaja.Seharusnya, remaja terbabit perlu menyayangi, melindungi dan menjaga darah daging mereka itu, bukan dengan membuang sesuka hati.Tindakan remaja yang membuang bayi mereka itu boleh disifatkan lebih jijik dan hina daripada binatang, sedangkan binatang pun tidak melakukan perkara sedemikian. Sesungguhnya, janganlah kita mengulangi kesilapan disebalik kesilapan yang telah dilakukan.